跳至主要内容

Bab3 KONFLIK DUNIA DAN PENDUDUKAN JEPUN DI NEGARA KITA

Kesedaran Awal Nasionalisme

Bab 3: Konflik Dunia dan Pendudukan Jepun di Negara Kita

3.1 Nasionalisme di Negara Kita Sebelum Perang Dunia

Nasionalisme di negara kita sebelum perang dunia tercetus daripada gerakan orang Melayu menentang campur tangan British.

Namun begitu, gerakan awal secara terbuka mendapat reaksi dan tindak balas yang keras daripada British.

Kesedaran Awal Nasionalisme

Sejak awal abad ke-20,

British berusaha untuk membendung pengaruh idea gerakan Islam dari Timur Tengah.
British dengan persetujuan Raja-raja Melayu memperkenalkan Enakmen Undang-Undang Islam 1904
bagi memastikan sesiapa yang mencetak dan mengedarkan tulisan berkaitan dengan agama dan politik Islam
tanpa keizinan sultan boleh dikenakan hukuman penjara.
British turut memperkenalkan dua badan penyiasat,
iaitu Jabatan Siasatan Jenayah (Criminal Intelligence Department) dan Biro Siasatan Politik (Political Intelligence Bureau)
untuk mengawal gerakan Islah Islamiah.

Kebangkitan Islam pada peringkat antarabangsa telah menyebabkan British berwaspada terhadap gerakan Pan-Islamisme.

Penentangan Tok Janggut merupakan hasil daripada kesedaran politik antarabangsa yang menggerakkan penentangan bercorak tempatan.
Walaupun gerakan ini melibatkan penduduk di Pasir Puteh, Kelantan, isu penentangan adalah untuk mempertahankan agama Islam dan hak penduduk tempatan.
Penentangan Tok Janggut ini berlaku di tengah-tengah kancah pergolakan politik yang berlaku di Eropah.
Penentangan Tok Janggut merupakan rentetan daripada cetusan kebangkitan masyarakat Islam sedunia terhadap penjajah Barat yang menakluki negara Islam.
Kebangkitan Tok Janggut telah dipengaruhi oleh penglibatan empayar Uthmaniyah dalam Perang Dunia Pertama di Eropah.
Penentangan Tok Janggut yang memperjuangkan agama ini kemudiannya dikaitkan dengan isu cukai yang dikenakan serta sikap membenci British.
British berwaspada terhadap sokongan orang Melayu kepada empayar Uthmaniyah yang berperang dalam Perang Dunia Pertama.
Perang yang meletus menarik perhatian pemimpin negeri Melayu untuk menyokong khalifah empayar Uthmaniyah.
Khalifah empayar Uthmaniyah yang dianggap pelindung umat Islam serta penaung bagi tanah suci Mekah dan Madinah.
Kegagalan penentangan bersenjata Tok Janggut menyebabkan masyarakat menyusun strategi lain untuk menentang pihak British.
Akhbar dan majalah menjadi wahana penting untuk meniupkan kesedaran kebangsaan.
Namun begitu, kesedaran politik tidak boleh dilakukan secara terang-terangan.
Hal ini disebabkan oleh adanya undang-undang British yang menghalang orang Melayu menyatakan sikap politik mereka melalui bahan bertulis.
Kewujudan undang-undang yang mengawal kebebasan bersuara, penerbitan, berpersatuan kawalan ketat British terhadap kegiatan yang boleh mengancam kedudukan British
menyebabkan kesedaran kebangsaan tidak meluas dalam akhbar Melayu sebelum Perang Dunia Kedua.
Kesedaran nasionalisme Melayu sebelum perang dunia lahir daripada kesedaran semangat cinta akan negara.
Semangat ini menjadi asas kepada gerakan yang lebih menyeluruh selepas Perang Dunia Kedua untuk memperjuangkan kemerdekaan tanah air.

3.2 Latar Belakang Perang Dunia

Perang dunia berpunca daripada perkembangan nasionalisme dalam kalangan negara Eropah.

Perkembangan nasionalisme yang membawa persaingan antara kuasa imperialis untuk mempertahankan kepentingan masing-masing.
Telah mencetuskan Perang Dunia Pertama (1914—1918) dan Perang Dunia Kedua (1939—1945) yang memberikan kesan besar terhadap penduduk dunia.

Perang Dunia Pertama

Perang Dunia Pertama berlaku dalam kalangan negara di Eropah termasuk empayar Uthmaniyah.

Antara faktor yang mencetuskan Perang Dunia Pertama termasuklah persaingan kuasa imperialis, pembentukan pakatan ketenteraan dan konflik di rantau Balkan.

Persaingan Kuasa Imperialis

Perkembangan Revolusi Industri menyebabkan berlaku persaingan dalam kalangan kuasa imperialis di Eropah.

Mereka bersaing untuk mendapatkan tanah jajahan bagi memperoleh bahan mentah, bahan mentah seperti arang batu, petroleum dan bijih timah serta memasarkan hasil industri.
Persaingan tersebut membawa permusuhan antara kuasa imperialis di Eropah seperti Perancis dan Jerman.

Pakatan Ketenteraan

Permusuhan antara kuasa Eropah membawa pembentukan pakatan ketenteraan seperti pakatan Kuasa Tengah dan Pakatan Bertiga.

Kewujudan pakatan ketenteraan menyebabkan ketidakstabilan politik berterusan di Eropah.
Seiring dengan persaingan mendapatkan tanah jajahan, negara dalam pakatan turut bersaing menghasilkan senjata moden dan sedia berperang bagi mempertahankan kepentingan masing-masing.

Krisis Balkan

Krisis di rantau Balkan berlaku akibat permusuhan Austria-Hungary dengan Serbia.

Austria-Hungary menuduh Serbia menghasut rakyat Austria berketurunan Serb supaya berjuang membebaskan diri daripada pemerintahan Austria-Hungary.
Kemuncak krisis Balkan ialah pembunuhan Archduke Ferdinand, Putera Mahkota Austria-Hungary dan isterinya Sophie oleh seorang pemuda Serbia.
Peristiwa kemuncak krisis Balkan menjadi sebab Eropah terjerumus dalam kancah Perang Dunia Pertama.

Berakhir Perang Dunia Pertama

Penglibatan Amerika Syarikat dalam perang membawa kejayaan kepada Pakatan Bertiga pada tahun 1918.

Jerman kemudiannya dipaksa menandatangani gencatan senjata.
Beberapa siri persidangan dan perjanjian damai yang diadakan selepas tamat perang telah memberikan kesan kepada negara di Eropah.
Amerika Syarikat diiktiraf sebagai kuasa besar dunia selepas Perang Dunia Pertama.

Persidangan Damai Paris

Persidangan Damai Paris diadakan pada 18 Januari 1919 untuk membincangkan syarat perdamaian selepas perang.

Syarat perdamaian selepas perang bertujuan memastikan Jerman tidak lagi menjadi ancaman kepada keamanan di Eropah.
Persidangan Damai Paris melahirkan Deklarasi 14 Perkara Woodrow Wilson, iaitu cadangan Presiden Amerika Syarikat sebagai asas perdamaian.
Deklarasi ini merangkumi dua prinsip utama, iaitu penentuan nasib negara oleh rakyat sendiri dan sempadan negara berasaskan bangsa.

Kesan Perang Dunia Pertama

Perang Dunia Pertama memberikan kesan besar terhadap negara Eropah.

Negara kita turut terkesan akibat perang tersebut.

Keruntuhan Pemerintahan Beraja

Perang Dunia Pertama telah menamatkan sistem pemerintahan beraja di Jerman, Austria-Hungary, Rusia dan empayar Uthmaniyah.

Kerajaan Republik Jerman didirikan apabila Kaiser Wilhem II terpaksa turun takhta dan mendapatkan perlindungan politik di Belanda.
Empayar Austria-Hungary di bawah pemerintahan Dinasti Habsburg berakhir apabila timbul pemberontakan di wilayah yang dikuasainya.
Revolusi yang tercetus di Rusia menumbangkan pemerintahan beraja Tsar Nicholas II dan kerajaan komunis pertama di dunia terbentuk di bawah pimpinan Vladimir Lenin.
Khalifah empayar Uthmaniyah, Sultan Mehmed VI digulingkan dan kerajaan Turki bercorak republik diketuai oleh Mustafa Kemal Ataturk.

Kemunculan Negara Baharu

Keruntuhan empayar Austria-Hungary melahirkan negara baharu seperti Austria, Hungary, Czechoslovakia dan Yugoslavia.

Perpecahan empayar Rusia membawa kepada penubuhan negara baharu seperti Poland, Estonia, Latvia dan Lithuania.
Perpecahan empayar Uthmaniyah menyebabkan muncul negara baharu seperti Lebanon, Syria dan Iraq.

Kesan terhadap Negara Kita

Bagi menyekat kebangkitan orang Melayu, Raja-raja Melayu diminta menandatangani perisytiharan perang yang menyokong dan memberikan taat setia kepada kerajaan British.

Pelbagai undang-undang yang berkaitan dengan perang diluluskan oleh pentadbiran British, termasuk
memperuntukkan kuasa Pesuruhjaya Tinggi British untuk meletakkan negeri Melayu di bawah undang-undang tentera jika keadaan memerlukan.
Kemakmuran ekonomi negeri Melayu juga dimanipulasi oleh British.
Wang hasil bijih timah dan getah digunakan untuk membiayai operasi British dalam Perang Dunia Pertama.

Kesimpulan

Perang Dunia Pertama memberikan iktibar kepada kita tentang kepentingan keamanan dunia.

Namun begitu, perdamaian yang dicapai hanya bersifat sementara. Dua puluh tahun selepas itu, Perang Dunia Kedua pula meletus.

3.3 Perang Dunia Kedua

Perang Dunia Kedua (1939—1945) berlaku di dua medan pertempuran, iaitu di Eropah dan Asia Pasifik.

Peperangan di Eropah tertumpu di negara Eropah dan utara Afrika, manakala peperangan di Asia Pasifik pula tertumpu di Tanah Besar Asia dan Kepulauan Asia Tenggara.
Peperangan melibatkan dua pakatan, iaitu Kuasa Paksi dan Kuasa Bersekutu.

Faktor Tercetusnya Perang Dunia Kedua di Eropah

Perang Dunia Kedua tercetus akibat kemunculan ideologi baharu, ketidakpuasan hati terhadap Perjanjian Versailles dan kegagalan Liga Bangsa-Bangsa.

Kemunculan Ideologi Baharu

Bagi mengatasi masalah yang wujud akibat kemelesetan ekonomi, penduduk Itali dan Jerman mengadakan gerakan politik radikal.

Gerakan politik radikal dipimpin oleh pemimpin nasionalis berfahaman melampau, iaitu fasisme di Itali dan nazisme di Jerman.

Fasisme

Gerakan fasisme di bawah pimpinan Benito Mussolini dan parti Fasis berjaya menguasai kerajaan Itali pada tahun 1922.

Fasisme memberikan keutamaan kepada kepentingan negara melebihi kepentingan individu dan percaya kepada nasionalisme melampau termasuk berperang bagi meningkatkan imej negara.
Bagi memulihkan semula imejnya, Itali meluaskan tanah jajahan dengan menguasai Habsyah (Ethiopia) dan Albania.

Nazisme

Gerakan nazisme di bawah pimpinan Adolf Hitler dan parti Nazi berjaya membentuk kerajaan di Jerman pada tahun 1933.

Nazisme mengagungkan bangsa Jerman.
Hitler berusaha untuk memulihkan nasionalisme Jerman dengan mengetepikan Perjanjian Versailles.
Hitler membina angkatan tentera semula dan seterusnya menduduki Rhineland semula, wilayahnya yang hilang melalui Perjanjian Versailles.

Ketidakpuasan Hati terhadap Perjanjian Versailles

Jerman sebagai negara yang kalah dalam Perang Dunia Pertama menganggap Perjanjian Versailles tidak adil dan menjejaskan kedaulatan negaranya.

Selain kehilangan tanah jajahan, pampasan perang yang tinggi dan perlu dibayar menyebabkan Jerman mengalami kemelesetan ekonomi dan inflasi yang teruk.
Itali sebagai negara yang menyertai Pakatan Bertiga dalam Perang Dunia Pertama juga tidak berpuas hati terhadap Perjanjian Versailles.
Itali tidak berpuas hati kerana tidak diberikan tanah jajahan baharu seperti yang diperoleh Perancis dan Poland.

Kegagalan Liga Bangsa-Bangsa

Liga Bangsa-Bangsa berperanan untuk memastikan keamanan dunia dan mewujudkan kerjasama antarabangsa. Namun begitu,

Kegagalan Liga Bangsa-Bangsa dalam usaha menguatkuasakan perjanjian pelucutan senjata

dan menangani krisis pencerobohan
menyebabkan dunia terdedah kepada konflik berterusan
dan mengakibatkan meletusnya Perang Dunia Kedua.

Cabaran Liga Bangsa-Bangsa selepas Perang Dunia Pertama

Krisis Manchuria (1931-1933)

Jepun menakluki Manchuria, iaitu wilayah di bawah penguasaan China.

Perjanjian Pelucutan Senjata (1932-1934)

Jerman keluar daripada Liga Bangsa-Bangsa dan memperbesar angkatan tenteranya secara terbuka.

Krisis Habsyah (1935-1936)

Itali menyerang Habsyah di Afrika.

Kuasa utama dalam Perang Dunia Kedua

Kuasa Paksi: Jerman, Itali, Jepun

Kuasa Bersekutu: Britain, Amerika Syarikat, Perancis, Rusia

Perang Dunia Kedua di Eropah

Perang Dunia Kedua di Eropah meletus apabila Jerman menyerang Poland pada bulan September 1939.

Jerman menyerang Poland menyebabkan Britain dan Perancis mengisytiharkan perang terhadap Jerman.

Penaklukan Jerman terhadap Eropah Barat

Selepas peperangan diisytiharkan, Jerman memulakan serangan Blitzkrieg bagi menakluki negara di Eropah Barat.

Jerman berjaya menawan Poland, Denmark, Norway, Belanda, Belgium, Luxembourg dan Perancis.
Jerman menguasai hampir keseluruhan negara di Eropah Barat menjelang pertengahan tahun 1941.

Blitzkrieg bermaksud serangan kilat.

Kapal terbang Jerman mengebom sasaran musuh, diikuti serangan pantas oleh kereta kebal dan tentera bermotorsikal.

Pengeboman Britain

Jerman melancarkan serangan udara dan laut terhadap Britain pada bulan September 1940 sehingga bulan Jun 1941.

Jerman menyerang dan memusnahkan pelabuhan, kawasan perindustrian dan pertahanan udara Britain, dan menjejaskan ekonomi Britain.

Penyertaan Itali dalam Perang di Eropah

Itali, sekutu Jerman mengisytiharkan perang terhadap Britain dan Perancis pada bulan Jun 1940.

Tentera Itali menyerang Perancis melalui arah selatan, manakala tentera Jerman menyerang Perancis dari arah utara.

Serangan Jerman ke atas Rusia

Setelah menguasai Eropah Barat, Jerman telah melancarkan Operasi Barbarossa, iaitu serangan besar-besaran untuk menawan Rusia.

Hitler ingin menguasai Rusia untuk mencapai cita-citanya menguasai seluruh Eropah.
Operasi ini menyasarkan bandar utama di Rusia, iaitu Leningrad, Moscow dan Stalingrad.

Operasi Barbarossa

Hitler mengarahkan lebih tiga juta tentera menyerang Rusia dengan dibantu oleh 3350 kereta kebal dan 2270 kapal terbang.

Operasi disertai oleh tentera Finland, Hungary dan Romania.

Berakhir Perang Dunia Kedua di Eropah

Kerjasama kuasa besar dan keberkesanan strategi serangan balas membawa kejayaan kepada Kuasa Bersekutu.

Kemenangan pihak Bersekutu memberikan iktibar kepada kita tentang kepentingan bekerjasama dan bermuafakat dalam menghadapi cabaran.

Kerjasama Kuasa Besar

Presiden Amerika Syarikat, Franklin Roosevelt dan Perdana Menteri Britain, Winston Churchill sering bertemu untuk membuat keputusan politik dan ketenteraan.

Kemudian, kerjasama ini melibatkan Presiden Rusia, Joseph Stalin.
Di medan peperangan, tentera Bersekutu daripada ketiga-tiga perkhidmatan, iaitu tentera darat, udara dan laut beroperasi di bawah Komander Tertinggi Bersekutu yang diketuai oleh Amerika Syarikat.

Keberkesanan Strategi Serangan

Kesilapan Kuasa Paksi membuat keputusan politik dan ketenteraan dalam operasi menawan Rusia membawa kegagalan.

Sementara itu, Kuasa Bersekutu pimpinan Amerika Syarikat memperlihatkan keunggulan dalam perancangan ketenteraan, terutama kejayaan operasi pendaratan tentera Bersekutu di Normandy, Perancis.

Kegagalan Operasi Menawan Rusia

Serangan terhadap Rusia berjalan lancar pada peringkat awal. Walau bagaimanapun,

Jerman kehilangan banyak nyawa tenteranya apabila perang melewati dua musim sejuk di Rusia.
Tempoh perang yang panjang ini menyebabkan tentera Jerman kehabisan peluru, minyak dan makanan akhirnya melemahkan semangat tenteranya.
Jeneral Jerman, Friedrich Von Paulus mengingkari perintah Hitler untuk meneruskan peperangan dan menyerah kalah kepada tentera Rusia di Stalingrad pada bulan Januari 1943.

Kejayaan Operasi Pendaratan Tentera Bersekutu

Melalui operasi yang diberikan nama kod "D-Day", tentera Bersekutu berjaya mendarat di Normandy, Perancis, pada Jun 1944.

Tentera Bersekutu berjaya memperdayakan tentera Jerman dengan menyebarkan maklumat yang meyakinkan tentera Jerman bahawa pendaratan tentera Bersekutu akan berlaku di Calais, bukannya di Normandy.
Kejayaan tersebut meningkatkan semangat tentera Bersekutu dan menjadi titik tolak kepada kejayaan membebaskan Perancis dan negara Eropah Barat daripada penaklukan Jerman.
Kejayaan Operasi "D-Day" membolehkan tentera Bersekutu memasuki Jerman dari arah barat. Pada masa yang sama, tentera Rusia menyerang Jerman dari bahagian timur.
Kematian Hitler pada bulan April 1945 telah mengubah landskap perang di Eropah. Jerman kemudiannya menandatangani perjanjian menyerah kalah, sekali gus menamatkan perang yang berlangsung selama enam tahun di Eropah.

Kejayaan dalam perang di Eropah membolehkan tentera Bersekutu memberikan perhatian kepada peperangan di Asia Pasifik dalam usaha menghadapi kemaraan tentera Jepun.

3.4 Perang Dunia Kedua di Asia Pasifik

Perang Dunia Kedua di Asia Pasifik (1941—1945) juga dikenali sebagai Perang Pasifik.

Pertempuran ini berlaku di Lautan Pasifik, Tanah Besar Asia dan Kepulauan Asia Tenggara.
Perang Pasifik berpunca daripada kemunculan Jepun sebagai kuasa tentera di Asia yang menjalankan imperialisme di rantau Asia Pasifik.

Peluasan Kuasa Jepun

Pembaharuan Meiji telah membawa pemodenan sehingga Jepun muncul sebagai negara industri dan memiliki kuasa ketenteraan yang setaraf dengan kuasa Barat.

Demi memenuhi keperluan ekonomi dan ketenteraan serta perkembangan politik dalam negara, Jepun melaksanakan dasar peluasan kuasa.

Dasar Peluasan Kuasa Jepun

Peluasan kuasa Jepun berkait dengan keperluan perindustrian, pengaruh golongan tentera dan mewujudkan Orde Baharu Asia.

Keperluan Perindustrian

Pada akhir abad ke-19, Jepun sebagai sebuah kuasa industri berusaha mengurangkan pergantungan kepada negara Barat untuk mendapatkan bahan mentah.

Jepun memerlukan wilayah yang dapat membekalkan bahan mentah dan menjadi kawasan pasaran bagi mengembangkan lagi perindustrian.

Pengaruh Golongan Tentera

Pada abad ke-20, Jepun mempunyai angkatan tentera paling moden di Asia.

Jepun semakin agresif apabila golongan tentera menguasai politik pada tahun 1932.
Golongan tentera berpendapat bahawa masalah ekonomi Jepun boleh diselesaikan menerusi penaklukan kawasan yang kaya dengan bahan mentah dan boleh menjadi kawasan pasaran.
Pada Oktober 1941, Jeneral Hideki Tojo menjadi Perdana Menteri Jepun dan mengheret Jepun ke kancah peperangan.

Mewujudkan Orde Baharu Asia

Di bawah pengaruh tentera, dasar luar Jepun terarah kepada matlamat mengembangkan kuasa, mewujudkan kebebasan ekonomi dan menentang imperialisme Barat.

Jepun mewujudkan orde baharu di Asia Timur yang merangkumi Jepun, Korea, China dan Manchuria ke dalam satu blok ekonomi.
Orde tersebut kemudiannya dikembangkan ke seluruh Asia.
Orde Baharu bermaksud rancangan Jepun untuk menyingkirkan kuasa imperialis Barat di Asia dan menganjurkan perkongsian kuasa serta kekayaan yang lebih adil dalam kalangan negara di Asia.

Sekatan Ekonomi terhadap Jepun

Setelah menguasai Korea, Manchuria dan China, Jepun menguasai kawasan strategik di Laut China Selatan termasuk Pulau Hainan dan Indochina.

Dasar peluasan kuasa Jepun telah mendapat reaksi daripada pihak Bersekutu.
Amerika Syarikat, British dan Belanda mengenakan sekatan ekonomi untuk menghalang Jepun daripada memperoleh bahan mentah yang diperlukan untuk industri dan operasi perang.

Sekatan ekonomi ialah tindakan menghentikan perdagangan serta membekukan semua harta milik Jepun di wilayah yang dikuasai oleh British, Amerika Syarikat dan Belanda.

Rancangan Penaklukan Wilayah di Selatan

Sebagai jalan keluar daripada sekatan ekonomi pihak Bersekutu, Jepun merancang untuk menguasai wilayah di selatan merangkumi Asia Tenggara yang kaya dengan bahan mentah seperti bijih timah, getah, bauksit dan petroleum.

Dari aspek ketenteraan, pakatan dalam Kuasa Paksi membolehkan kerajaan Jerman menghantar pakarnya ke Jepun.
Pakar ini dihantar untuk mengkaji serangan terhadap wilayah selatan dan membantu perkembangan industri pembuatan kapal terbang Jepun.

Pakatan Tiga Negara

Pada tahun 1940, Jepun telah menandatangani perjanjian Pakatan Tiga Negara dengan Jerman dan Itali yang menjadikan Jepun terikat dengan Kuasa Paksi.

Hasrat Jepun membentuk pemerintahan baharu di Asia Pasifik mencapai kemuncak apabila rundingan di Amerika Syarikat untuk menamatkan sekatan ekonomi terhadap Jepun menemui jalan buntu.
Berikutan kegagalan rundingan tersebut, arahan serangan serentak terhadap Asia Pasifik dikeluarkan oleh pemerintahan tentera Jepun pada Disember 1941.

Bermula Perang Dunia Kedua di Asia Pasifik

Perang Dunia Kedua di Asia Pasifik bermula apabila Jepun menyerang Tanah Melayu dan Pearl Harbour, Hawaii, iaitu pangkalan tentera laut Amerika Syarikat di Pasifik.

Serangan tentera Jepun terhadap Pearl Harbour bertujuan melumpuhkan armada laut Amerika Syarikat di Pasifik yang boleh menjadi penghalang kepada peluasan kuasa Jepun di Asia Pasifik.
Seterusnya, serangan dilakukan ke atas wilayah jajahan Amerika Syarikat, Britain dan Belanda yang lain seperti Filipina, Hong Kong, Pulau Guam dan Pulau Wake.
Serangan tersebut membawa penglibatan Amerika Syarikat dalam perang di Asia Pasifik apabila mengisytiharkan perang terhadap Jepun.
Dengan strategi yang berkesan dan penguasaan serangan melalui laut, darat dan udara, Jepun berjaya membentuk empayar yang luas di Asia Pasifik menjelang April 1942.

Perang Dunia Kedua yang merangkumi perang di Eropah dan di Asia Pasifik telah mengorbankan hampir 75 juta nyawa manusia dan membawa kemusnahan harta benda.

Peperangan menyebabkan kematian, kesengsaraan, kelaparan, ketakutan, kezaliman dan kemiskinan.
Kita sewajarnya mengambil iktibar daripada peristiwa Perang Dunia Kedua untuk menghargai nikmat keamanan dan belajar untuk hidup bersama-sama dalam keadaan aman dan harmoni.

3.5 Faktor Kedatangan Jepun ke Negara Kita

Serangan tentera Jepun bermula di Tanah Melayu pada 8 Disember 1941, manakala serangan terhadap Sarawak dan Sabah bermula pada 16 Disember 1941.

Kedatangan Jepun ke negara kita bertujuan memenuhi keperluan ekonomi dan kepentingan strategik ketenteraan akibat sekatan ekonomi yang dikenakan oleh pihak Bersekutu terhadap Jepun.
Dalam usaha menjayakan misi ini, Jepun menggunakan propaganda seperti penggunaan slogan "Semangat Asia" dan "Asia untuk Orang Asia".
Propaganda Jepun menanamkan semangat antipenjajah Barat dan menonjolkan imej Jepun sebagai pembela negara Asia.

Eksploitasi Sumber Bahan Mentah

Jepun ingin mengeksploitasi kekayaan bahan mentah di negara kita untuk keperluan perindustrian ekoran Pembaharuan Meiji dan operasi ketenteraan Jepun.

Tanah Melayu merupakan pengeluar utama bijih timah dan getah di dunia, selain menghasilkan emas, bijih besi, arang batu dan bauksit.
Sasaran utama Jepun di Sarawak untuk mendapatkan sumber minyak, terutama di Miri dan Lutong.
Pendudukan Jepun terhadap negara kita merupakan sebahagian daripada rancangan menjayakan pembentukan kawasan Lingkungan Sekemakmuran Asia Timur Raya untuk mengukuhkan ekonomi Jepun.

Kepentingan Strategik Ketenteraan

Kedudukan strategik negara kita sesuai untuk ketenteraan Jepun.

Di hujung Semenanjung Tanah Melayu terletak pangkalan tentera laut British, iaitu Singapura.
Penguasaan terhadap pangkalan tentera laut tersebut penting untuk membuka laluan penguasaan Jepun terhadap telaga minyak di Sumatera.
Penguasaan terhadap Pulau Borneo pula penting untuk menjayakan operasi penaklukan tentera Jepun di Pulau Jawa.

Serangan Jepun terhadap Negara Kita

Serangan Jepun di Tanah Melayu bermula dengan pendaratan serentak tentera Jepun di Pantai Kuala Pak Amat, Pantai Sabak, Kota Bharu dan Thailand (Singgora dan Patani) pada 8 Disember 1941.

Keseluruhan Tanah Melayu jatuh ke tangan tentera Jepun apabila Singapura berjaya ditawan pada 15 Februari 1942.

3.6 Dasar Pendudukan Jepun di Negara Kita

Setelah menduduki negara kita, Jepun memperkenalkan pemerintahan tentera.

Dasar pemerintahan tentera Jepun diterima daripada Panglima Agung Japanese Southern Army untuk dilaksanakan di Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah.
Dasar pendudukan Jepun di negara kita dapat difahami melalui dasar pentadbiran, ekonomi dan sosial.

Dasar Pentadbiran

Tentera Jepun memperkenalkan Pemerintahan Tentera Tanah Melayu.

Pada peringkat awal, Tanah Melayu digabungkan dengan Sumatera di bawah satu pentadbiran untuk membentuk Kawasan Pertahanan Khas dan diletakkan di bawah pentadbiran pasukan tentera Jepun ke-25 yang berpusat di Singapura.
Pada April 1944, Tanah Melayu dan Sumatera ditadbir secara berasingan kerana terdapat perbezaan sistem politik dan ekonomi yang ketara di bawah pentadbiran British dan Belanda sebelum perang.

Dasar terhadap Raja-raja Melayu

Pentadbiran tentera Jepun mengiktiraf kedudukan Raja—raja Melayu sebagai ketua dalam hal ehwal agama Islam dan adat Melayu.

Kedudukan baginda sebagai sultan di negeri masing-masing diletakkan di bawah pengawasan Gabenor Jepun. Pengiktirafan tersebut dibuat semasa persidangan Raja-raja Tanah Melayu dan Sumatera di Singapura pada bulan Januari 1943.

Dasar Ekonomi

Akibat kemelesetan ekonomi, pentadbiran tentera Jepun melaksanakan sistem ekonomi kawalan. Rancangan Pengeluaran Lima Tahun dan Jawatankuasa Penyelidikan Bahan diperkenalkan.

Mata wang Jepun dicetak menggantikan mata wang yang digunakan oleh British. Mata wang Jepun yang dikenali sebagai "wang pokok pisang".

Dasar Sosial

Jepun bertindak menutup sekolah Inggeris dan Cina. Sistem persekolahan Jepun diperkenalkan untuk membentuk semangat persaudaraan sejagat (Hakko Ichiu) dan menghapuskan pengaruh Barat.

Pengajaran bahasa Jepun (Nippon Go) dijalankan secara meluas untuk menjadikan bahasa Jepun sebagai lingua franca dalam Lingkungan Sekemakmuran Asia Timur Raya.

Catuan dan Kekejaman

Pentadbiran tentera Jepun memperkenalkan Ordinan Kawalan Barangan dan Bahan Penting untuk mengawal bekalan barangan akibat kekurangan makanan.

Landasan Kereta Api Maut adalah antara bukti kekejaman pentadbiran tentera Jepun. Ramai yang terkorban akibat kerja berat, kekurangan makanan dan ubat-ubatan.

Kesimpulan

Dasar pendudukan Jepun meninggalkan pelbagai kesan kesengsaraan dan penderitaan kepada rakyat. Pengalaman tersebut membentuk jiwa masyarakat tentang kepentingan ketahanan fizikal dan mental semasa menghadapi cabaran hidup.

3.7 Perjuangan Rakyat Menentang Pendudukan Jepun

Dua batalion Rejimen Askar Melayu terlibat dalam usaha mempertahankan tanah air ketika serangan tentera Jepun.

Pemerintahan tentera Jepun yang kejam dan kesengsaraan hidup yang dihadapi oleh rakyat kemudiannya telah mencetuskan penentangan terhadap pendudukan Jepun.

Rejimen Askar Melayu Benteng Pertahanan Tanah Air

Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu bersama-sama dengan pasukan tentera British terlibat menentang pendaratan tentera Jepun di Kelantan.

Penglibatan Rejimen Askar Melayu dalam pertempuran menentang tentera Jepun di Singapura memperlihatkan semangat juang yang tinggi.
Semangat keberanian dan kepemimpinan askar Melayu yang sanggup berjuang sehingga hujung nyawa wajar dikenang dan memberikan iktibar tentang kepentingan sikap sedia berkorban untuk tanah air.

Penentangan MPAJA

Layanan kejam tentera Jepun menyebabkan terdapat sebahagian orang Cina mencari perlindungan di bawah Parti Komunis Malaya (PKM) bagi mengelakkan mereka diseksa dan dibunuh.

Malayan Peoples Anti-Japanese Army (MPAJA) merupakan gerakan anti-Jepun yang terbesar di Tanah Melayu.

Kerjasama MPAJA dan Force 136

Pada bulan Disember 1943, MPAJA dan Force 136 yang mewakili tentera British telah mengadakan perjanjian kerjasama untuk melawan tentera Jepun.

Dalam kerjasama ini, MPAJA memperoleh bantuan seperti senjata, ubat-ubatan, kewangan dan latihan ketenteraan daripada tentera British.

Penentangan Individu

Gurchan Singh

Gurchan Singh menggerakkan penentangan terhadap pendudukan tentera Jepun dengan cara menyebarkan risalah dan propaganda menggunakan nama samaran "Lion of Malaya".

Beliau berjaya menghadiri sidang akhbar tentera Jepun dengan menyamar sebagai wartawan dan mendalangi sabotaj terhadap landasan kereta api yang menjejaskan pengangkutan tentera Jepun.

Sybil Kathigasu

Sybil Kathigasu memberikan bantuan perubatan kepada pejuang gerila yang menentang Jepun, memperlihatkan keberanian dan semangat melawan penindasan.

Gerakan Anti-Jepun di Sarawak dan Sabah

Pemberontakan Jesselton

Pada bulan Oktober 1943, kumpulan Albert Kwok yang dikenali sebagai gerila Kinabalu telah melancarkan serangan terhadap pejabat pentadbiran dan kemudahan tentera Jepun di Sabah.

Tentera Jepun kemudiannya melancarkan serangan balas dengan pantas dan kejam. Beratus-ratus orang disoal siasat dan diseksa sehingga mati.

Kesimpulan

Perjuangan rakyat menentang pendudukan Jepun merupakan tindak balas terhadap kekejaman dan kesengsaraan yang dihadapi di bawah pentadbiran tentera Jepun.

Penentangan terhadap pendudukan Jepun melibatkan semua kaum di negara kita melalui pelbagai organisasi termasuk orang perseorangan.

3.8 Perkembangan Gerakan Nasionalisme Tempatan dan Pendudukan Jepun

Pendudukan Jepun meninggalkan kesan yang besar terhadap kehidupan masyarakat di negara kita.

Dasar pemerintahan Jepun membawa perkembangan nasionalisme dalam kalangan penduduk tempatan.

Perkembangan Semangat Anti Penjajah

Pendudukan Jepun di Tanah Melayu berlaku ketika bibit-bibit kesedaran nasionalisme mula berkembang sebelum Perang Dunia Kedua.

Slogan "Asia untuk Asia" dan konsep "Lingkungan Sekemakmuran Asia Timur Raya" menekankan kebebasan negara Asia, menentukan kemajuan dan meningkatkan persaudaraan sejagat.
Konsep ini selari dengan perjuangan sebahagian daripada golongan nasionalis di Tanah Melayu, terutama Kesatuan Melayu Muda (KMM).
KMM bekerjasama dengan Jepun dan berharap Jepun dapat memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu.

Perjuangan Menuntut Kemerdekaan dalam Kalangan Orang Melayu

Langkah awal tentera Jepun membangkitkan nasionalisme dalam kalangan orang Melayu adalah dengan membebaskan ahli KMM yang dipenjarakan oleh British.

Namun begitu, pada bulan Jun 1942, tentera Jepun membubarkan KMM kerana tindakan pemimpinnya menuntut kemerdekaan daripada Jepun.
Pemimpin KMM sedar bahawa Jepun tidak akan memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu.
Anggota KMM dalam organisasi ketenteraan yang ditubuhkan oleh tentera Jepun seperti Giyu Gun dan Giyu Tai menyertai gerakan bawah tanah menentang Jepun.

Giyu Gun dan Giyu Tai

Giyu Gun atau Pembela Tanah Air (PETA) ialah pasukan tentera sukarela yang ditubuhkan untuk membantu Jepun mempertahankan Tanah Melayu. Ibrahim Haji Yaakob mengetuai Giyu Gun sebagai Leftenan Kolonel.

Giyu Tai ialah pasukan yang membantu pertahanan pesisiran pantai dan menjaga ketenteraman awam. Onan Haji Siraj mengetuai Giyu Tai sebagai Leftenan Kolonel.

Kesedaran Politik di Sarawak dan Sabah

Kegiatan penduduk di Sarawak dikawal melalui persatuan yang ditaja oleh tentera Jepun, sementara orang Melayu dan Iban diberikan jawatan dan kuasa yang lebih tinggi sebagai pegawai daerah.

Pengalaman semasa pendudukan Jepun menjadikan peribumi Sarawak lebih yakin untuk berkerajaan sendiri selepas Perang Dunia Kedua.
Pendudukan Jepun menyuntik kesedaran berpolitik dalam kalangan masyarakat setempat di Sabah.

Kakeo Kokokai

Kakeo Kokokai ialah Persatuan Cina Seberang Laut anjuran Jepun yang menggabungkan persatuan Cina yang merangkumi dialek, daerah dan nama keluarga di bawah satu pertubuhan.

3.9 Keadaan Negara Kita Selepas Kekalahan Jepun

Amerika Syarikat telah menggunakan bom atom dalam serangan terhadap Jepun pada bulan Ogos 1945. Peristiwa tersebut membawa kekalahan tentera Jepun dan berakhirnya Perang Dunia Kedua.

Kekalahan Tentera Jepun dan Pengakhiran Perang Dunia Kedua

6 Ogos 1945: Bom atom "Little Boy" digugurkan ke atas bandar Hiroshima.

9 Ogos 1945: Bom atom "Fat Man" digugurkan ke atas bandar Nagasaki.
15 Ogos 1945: Maharaja Hirohito mengumumkan Jepun menyerah kalah.

Penguasaan Bintang Tiga di Tanah Melayu

Kelewatan pendaratan semula tentera British menyebabkan wujud kekosongan kuasa politik. Kesempatan ini digunakan oleh Bintang Tiga PKM melalui MPAJA untuk mengambil alih penguasaan di Tanah Melayu.

Bintang Tiga menjalankan undang-undang sendiri dan menggunakan sebuah mahkamah yang dikendalikan oleh komunis untuk menjatuhkan hukuman mati terhadap sesiapa yang bekerjasama dengan Jepun.

Tindak Balas Orang Melayu

Orang Melayu bersatu apabila Bintang Tiga mengancam institusi politik, kekeluargaan dan agama Islam. Gangguan Bintang Tiga menyebabkan orang Melayu membentuk Gerakan Fi-Sabilillah.

Di Johor, Haji Salleh Abdul Karim atau dikenali sebagai Kiai Salleh mempelopori penentangan dengan menubuhkan pasukan Tentera Selempang Merah. Di Sungai Manik, Perak, Tuan Haji Bakri menjadi Khalifah Parang Panjang.

Kompromi dan Usaha Perundingan

Usaha Dato' Onn Jaafar

Dato' Onn Jaafar dilantik oleh Sultan Ibrahim sebagai Pegawai Daerah Batu Pahat dengan tugas utamanya menamatkan kekacauan dan memulihkan keamanan di Batu Pahat.

Pada Ogos 1945, Dato' Onn Jaafar mengatur perundingan antara Kiai Salleh dan pemimpin Melayu dengan ketua Bintang Tiga di Dewan Perniagaan Cina Batu Pahat.

Peranan Raja-raja Melayu

Raja-raja Melayu berperanan penting dalam usaha menyelesaikan pergaduhan kaum melalui perjumpaan dan lawatan.

Contohnya, Sultan Perak, Sultan Abdul Aziz melawat kawasan yang terlibat untuk memastikan tiada pergaduhan antara kaum.

Sarawak Selepas Jepun Menyerah Kalah

Ketegangan antara kaum berlaku di beberapa tempat sebelum pendaratan tentera Australia pada 11 September 1945.

Di Kuching, campur tangan segera tentera Australia melalui perintah berkurung berjaya menghalang pertumpahan darah antara kaum.

Kesimpulan

Pendudukan Jepun memberikan impak negatif terhadap keharmonian masyarakat di negara kita.

Peristiwa ini memberikan iktibar kepada kita supaya mengelak daripada perkara yang boleh menimbulkan ketegangan antara kaum.

评论

此博客中的热门博文

2024 国中 SPM高考 Sejarah K1 选择题 根据Bab

2024 Percubaan Sejarah K1 Ting4 Bab1 2024 Percubaan Sejarah K1 Ting4 Bab2 2024 Percubaan Sejarah K1 Ting4 Bab3 2024 Percubaan Sejarah K1 Ting4 Bab4 2024 Percubaan Sejarah K1 Ting4 Bab5 2024 Percubaan Sejarah K1 Ting4 Bab6 2024 Percubaan Sejarah K1 Ting4 Bab7 TEST 2024 Percubaan Sejarah K1 Ting5 Bab1 2024 Percubaan Sejarah K1 Ting5 Bab2 2024 Percubaan Sejarah K1 Ting5 Bab3